Tuesday, July 20, 2010

CIRI-CIRI KEPIMPINAN Datuk Seri Syed Razak yang mengambil alih daripada Tan Sri Sanusi Junid pada tahun 1999.

Mesra rakyat, cara hidup kampung, pendekatan hands on dan bekerja tanpa mengira masa, melayani kehendak rakyat dari isu kecil hinggalah isu besar semuanya dibereskan. 

Memang azab melayani kehendak pengundi di Kedah. Tanyalah mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen sedia ada. Kehendak mereka ibarat kata pepatah Inggeris from nothing to everything. Akan tetapi azab, penat dan jerit perih pasti berbalas. Prinsip budi baik dikenang juga akhirnya dibayar dengan undi dalam pilihanraya. 

Ironinya sosiobudaya pengundi dan rakyat Kedah amat bencikan pemimpin sombong, angkuh dan bangga diri. Ataupun pemimpin yang bukannya anak tempatan tetapi menunjuk lagak seolah-olah dia tahu segala-galanya.

Untuk mendapat tempat di hati rakyat Kedah, pemimpin tidak boleh dilihat berbeza pada skala yang besar dengan rakyat biasa. Pemimpin yang disanjungi adalah mereka yang menjadi pendengar setia rintihan dan keluhan rakyat. Mudah ditemui bukannya terpaksa melalui aturan temu janji yang entah apa-apa. 

Pengundi di Kedah cukup mudah, dengan sebahagian besarnya adalah kaum tani, penternak, penoreh dan nelayan serta menghuni kawasan luar bandar. Mereka akan menghargai dan meraikan pemimpin yang sentiasa ingatkan mereka. 

Pemimpin yang bila berjanji dikota, kata dilaksana. Fakta ini diketahui semua pemimpin UMNO di Kedah atau dimana sahaja. Malangnya mungkin kerana faktor ‘terlupa’ terlalai atau mengambil ringan akibat UMNO dan BN sering menang mudah maka ia terlepas pandang menyebabkan UMNO akhirnya kecundang.

Namun itulah formula sebenar yang wajib menjadi amalan jika mana-mana  parti mahu menang dan berkuasa di mana-mana sahaja. Cukuplah peristiwa gerhana PRU 2008 menjadi pengajaran. Sikap selesa, ambil mudah dan kerja bermusim patutnya dibuang jauh. 

Inilah hikmah PRU 2008 moga menjadi ingatan dan panduan kepada seluruh barisan pimpinan dan penyokong Pakatan rakyat semua peringkat jika inginkan kemenangan diseluruh negara!



Penulis ialah bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Syed Razak ketika menjadi Menteri Besar Kedah.

Mana lebih penting, perpaduan atau kepimpinan yang baik?

SEJAK kebelakangan ini, isu perpaduan orang Melayu, khasnya penyatuan UMNO dan Pas mendapat perhatian ramai. Penekanan isu ini adalah untuk mengelak malapetaka orang Melayu kehilangan kuasa.

Tidak dinafikan tentang perpecahan orang Melayu, malah semua kaum, di negara kita, kerana perbezaan ideologi. Ini perkara lumrah yang berlaku di mana-mana. 

Namun demikian, kita patut membezakan antara kewujudan banyak parti politik dengan pertelagahan di antara mereka. Parti-parti boleh bekerjasama seperti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan sekarang dalam pakatan pembangkang atau parti-parti boleh bertelagah dan tidak boleh bekerjasama. 

Nampaknya, mereka yang menganjurkan perpaduan UMNO-Pas menonjolkan isu orang Melayu hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Mereka bimbang kehilangan kuasa ini akan membawa kepada pindaan Perlembagaan negara dan perubahan dasar-dasar yang penting tentang kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Apa yang kita sebut dalam ayat akhir perenggan di atas memang perlu dielak. Kalau berlaku, satu lagi peristiwa berdarah 13 Mei tidak dapat dielak. 

Siapa yang salah kalau ini berlaku? Tokoh-tokoh tertentu dalam pakatan pembangkang bukan manusia yang sempurna. Demikian juga dalam pakatan kerajaan. 

Tidak ada manusia yang sempurna. Yang sempurna hanya Tuhan pencipta sekelian alam. Namun demikian, ada pihak yang perlu kita pertanggungjawabkan. Jika tidak ada pihak yang telah melakukan kesalahan-kesalahan besar, perkara ini tidak akan timbul.

Kemenangan besar yang diperoleh oleh pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak boleh dipersalahkan kepada rakyat, atau kepada dakyah pembangkang semata-mata. UMNO dan BN sendiri perlu mengambil tanggungjawab utama. UMNO dan BN sendiri perlu membaiki dirinya. 

Saya percaya, kalau UMNO dan BN boleh memberi kepimpinan yang baik, dilema ini tidak akan timbul.

Sekarang UMNO sedang mengadakan mesyuarat-mensyuarat Bahagian. Kita boleh membaca dalam akhbar-akhbar yang melaporkan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat-mesyuarat ini, termasuk Presiden UMNO serta mendapat maklumat yang berguna tentang beberapa masalah dalaman UMNO. 

Pemimpin-pemimpin ini menyeru supaya ahli-ahli UMNO jangan berbalah sesama sendiri, jangan berpuak-puak mesti memperjuangkan kehendak dan hasrat rakyat dan mesti kembali kepada perjuangan asal UMNO. 

Perkara-perkara ini sudah kita dengar lama dulu. Ringkasnya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO telah gagal menampilkan kepimpinan yang baik. 

Jika UMNO ada kepimpinan yang baik, perkara-perkara ini tidak akan disebutkan dalam ucapan-ucapan perasmian itu.Inilah masalahnya. Bukan penyatuan UMNO-Pas yang diperlukan, tetapi kepimpinan orang Melayu yang baik. Bukanlah UMNO tidak pernah ada kepimpinan yang baik.

Tetapi sejak satu dua dekad yang lalu, sejak timbul apa yang dikatakan ‘politik wang’, kepimpinan itu merosot teruk. 


Banyak rencana telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tentang pelbagai macam penyelewengan dalam UMNO dan kerajaan: rasuah, keborosan, kronisme, perpecahan kepada puak dan kehilangan semangat perjuangan atau idealisme. 

Kepimpinan Najib sekarang mestilah menyelesaikan masalah-masalah ini. Kerja besar dan berat inilah yang harus difikirkan dan ditangani bukan saja oleh kepimpinan UMNO tetapi juga oleh kepimpinan Pas dan kepimpinan seluruh bangsa Melayu termasuk kepimpinan pakatan pembangkang lain. 

Contohnya, kalau kita ada sebuah dusun, pokok-pokok seperti durian, rambutan, manggis, mempelam, langsat dan sebagainya hendaklah subur dan berbuah selalu atau dalam musim-musimnya. Buah-buahnya pula mestilah sedap. Begitulah yang kita mahu dilakukan oleh kepimpinan, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Kita bukan meminta langit. Kita harus realistik. Semua manusia, termasuk pemimpin-pemimpin ada kelemahan. Tetapi kita berhak meminta komitmen yang ikhlas dan tinggi daripada pemimpin-pemimpin kita. 

Kepimpinan UMNO dan BN mestilah memperbaharui dan memperkuat semangat perjuangan mereka serta melaksanakan transformasi (meminjam istilah Najib) UMNO dan kerajaan dalam masa sesingkat mungkin. 

Kalau mereka boleh melakukan ini, saya percaya kita tidak perlu bimbang tentang orang Melayu kehilangan kuasa. Tetapi kalau mereka gagal, malapetaka besar padahnya.
Kassim Ahmad Kulim, Kedah

Friday, May 28, 2010

Siapa wakil India Muslim?


Dewasa ini sering kali terdengar rintihan dan perasaan ketidakpuasan hati masyarakat. Ada sahaja isu yang tidak kena. Ada isu yang dianggap biasa menjadi isu yang sensitif dan dibesar-besarkan beritanya. Bermula peringkat rekaan bertukar menjadi realiti akibat fitnah dan tohmahan muncul dalam berita- berita ini.



Hampir setiap bangsa dan kaum di Malaysia mengemukakan bantahan, rintihan dan ketidakpuasan hati terhadap masalah yang mereka hadapi. Ia merangkumi segala aspek baik dari segi sosial, ekonomi mahupun politik.


Ketidakpuasan hati ini bukan hanya terdengar dan berkisar di peringkat kampung, daerah, negeri malahan sekarang sudah peringkat nasional.Luahan rasa ketidakpuasan hati ini tidak berakhir di situ, malah menular pada setiap pilihan raya kecil sehinggakan ia sudah berubah menjadi budaya kita.


Pemikiran politik yang sempit serta pemikiran politik yang mengatakan hanya mereka yang betul, yang mengatakan hanya mereka yang berjasa sudah ketingglan zaman dan tidak boleh diterima lagi. Ini adalah kerana rakyat secara keseluruhannya ahri demi hari makin susah , makin merana dengan kenaikan pelbagai harga barangan pengguna seperti minyak masak, petrol, gandum, gula, tambang bas dan sebagainya. Dengan kejudan fenomena yang mendesak ini, maka akhirnya lahirlah hero-hero untuk memperjuangkan keadilan, kesaksamaan, kebajikan, kebebasan bersuara dan sebagainya.




Seharusnyalah kerajaan memikirkan kenapa lahirnya golongan yang mendesak kerajaan BN untuk melakukan perubahan dan berubah menjadi negara yang memikirkan kebajikan rakyat dan janganlah meneruskan dasar hanya untuk membina kekayaan dikalangan sekelompok tidak sampai seribu orang sahaja itu!




Jadi tidak hairanlah kumpulan muda-mudi yang sedar dan insaf itu menunjukkan kekecewaan mereka dengan menuduh kerajaan yang sedia ada sebagai zalim, korup, penipu. Ini adalah kerana hakikatnya perkara itu berlaku begitu nyata sehinggakan tidak boleh dipertikaikan lagi! Umpamanya kalau dah siang hari tak perlulah bersuluh lagi.,dah terang, dah nyata, seperti yang diperkatakan.


Apa yang kerajaan Malaysia lakukan kepada rakyatnya mengikut kelas status sosial dan puak politik adalah sesuatu yang mendukacitakan sekali. Hanya golongan tertentu sahaja dilayan, manakala yang lainnya tidak diambil peduli!


Contohnya nasib kaum India Muslim yang tidak meminta dan menagih apa-apa, tidak langsung dipedulikan oleh pimpinan UMno walhal mereka merupakan penyokong kuat UMNo/kerajaan.


Pada umumnya kerajaan BN yang dipimpin oleh Umno memandang lekeh dan tidak mengambil peduli kepada kaum India Muslim, kaum minoriti ini. Ini adalah kerana kesetiaan mereka yang tinggi dan tidak berbelah bagi kepada BN menyebabkan BN memandang rendah dan memandang kaum India Muslim sebagi tidak berharga. 


Bagi BN segala tumpuan dan perhatian hanyalah diberikan kepada MIC sahaja! Segala masalah India muslim diserahkan bulat-bulat kepada MIC dan terserahlah kepada MIC untuk mengambil sebarang tindakan untuk membantu kaum India muslim atau tidak. 




Salahnya adalah kerana kaum India muslim begitu setia kepada BN, hingga tidak mengeluarkan sebarang riak bantahan pun untuk menyatakan ketidak pekaan UMno untuk membantu India muslim. 


Itulah sebabnya kaum India muslim tidak kemana-mana. Contohnya dalam MIC kaum India muslim langsung tidak diberi peluang untuk bersuara dan langsung tiada peluang untuk memegang jawatan dalam kelompok utama MIC. 


Begitu juga dalam UMNo, mereka amat susah juga untuk memenangi sebarang jawatan kecuali di Pulau Pinang yang mana bilangan India Muslim ini agak banyak dan boleh mempengaruhi pemilihan cawangan dan bahagian UMNo. 


Oleh kerana mereka tidak bangkit meminta hak mereka sebagai satu etnik minoriti, maka kedua-dua parti sama ada MIC ataupun UMNo mengabaikan mereka dan setakat ini hanya Mohd Nor Yakcop dan Sharizat Jali sahaja yang boleh dikatakan mewakili keturunan india muslim .


Selain dari itu, tidak ada. begitulah nasib keturunan India muslim, yang seoaruh dalam MIC, separuh dalam UMNo, menjadikan mereka tidak kuat. Walaupun keturunan India muslim ada KIMMA, tetapi pemimpin KIMMa sentiasa akur dan menurut sahaja kehendak pemimpin UMNO. maka akhirnya tidak ada apa-apalah untuk KIMMA. 


Tetapi sekiranya KIMMA menyertai pakatan rakyat, adalah dipercayai KIMMA akan mendapat hak untuk mencalunkan wakilnya ke Parlimen dan juga DUN. Sedangkan setiap kaum ada wakil di peringkat nasional, contohnya keturunan Sikh yang amat sedikit bilangannya itu juga mempunyai seorang Senator untuk mewakili mereka.


Begitu juga keturunan Siam yang bilangannya tak seberapa itu pun ada wakil. Kaum Portugis ada wakil kaum Artis dan orang kurang upaya pun ada wakil. Semua ini baik kerana wakil-wakil itu dapat berinteraksi dengan kerajaan.


Tetapi kaum India Muslim yang hampir satu juta orang tiada wakil atau suara di dalam pentadbiran kerajaan sekarang. Besar harapan kaum India Muslim jika ada kalangan anak mereka berdiri bersama pemimpin kerajaan dan dapat berbakti kepada negara tercinta ini.


Kerajaan BN juga harus menerima dan membantu kaum India Muslim yang merupakan penyokong kuat kepada kerajaan BN. Kerajaan pimpinan UMNO juga diseru janganlah manjakan keturunan Tamil MIC dan keturunan Cina sahaja, sedangkan mereka sudah kurang mempercayai kerajaan sekarang. Ini dibuktikan dengan pilihan raya kecil yang berlaku di mana majoriti kaum Cina dan keturunan Tamil tidak mengundi calon Barisan Nasional (BN). yang tetap mengundi UMNO/ BN hanyalah keturunan India muslim.


Ramai yang beranggapan, kaum India Muslim ini merupakan golongan yang kaya kerana mempunyai restoran-restoran, kedai-kedai buku, kedai runcit hampir di setiap bandar dan kampung.Tetapi pada hakikat tidak begitu kerana kaum India Muslim ini juga ada yang miskin. Lebih 50 peratus kaum India Muslim berada di bawah garis kemiskinan.


Ini dapat dilihat melalui statistik jumlah yang paling ramai memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah tergolong daripada kaum India Muslim dan di rumah-rumah PPRT ini pula kaum ini diklasifikasi sebagai paling miskin (miskin tegar) oleh Ketua Blok PPRT.


Di samping ini juga kita dapat lihat ramai pengemis juga terdiri daripada India Muslim. Mengapa kita perlu sisihkan masyarakat ini sedangkan mereka merupakan antara pendatang yang paling awal berada di Malaysia iaitu kurun ke-12.Ini boleh dibuktikan dengan penyebaran Islam dari India di Malaysia dan ada tokoh-tokoh seperti Munsyi Abdullah yang terlibat secara langsung menulis untuk pihak Istana.


Keadaan sekarang sudah berubah. Pada waktu dulu suara majoriti mengawal keadaan tetapi sekarang tidak, suara minoriti juga memainkan peranan yang penting.Sebagai contoh pilihan raya di England, Parti Konservatif terpaksa bercantum dengan satu parti kecil untuk membentuk kerajaan.


Jika kita lihat pilihan raya kecil yang berlalu di Malaysia, undi kaum minoriti merupakan penentu kemenangan bagi satu-satu parti.Perkara ini tidak perlu dipandang mudah kerana ia merupakan landskap baru politik pada masa akan datang.


Saya percaya kaum India Muslim mempunyai saluran yang lebih baik untuk mereka meluahkan isi hati dan masalah mereka, sekiranya menyertai pakatan rakyat berbanding dengan meneruskan sokongan kepada kerajaan BN pimpinan UMNO yang melaungkan gagasan 1Malaysia. Bukanlah hasrat saya untuk meminta yang bukan-bukan atau menjadi kumpulan pendesak tetapi sekadar mendapat sedikit hak kerana kami pun adalah rakyat Malaysia juga.


Kekuatan kita ialah bersatu dan penyatuan ini penting kerana mana-mana kaum tidak boleh berdiri sendiri. Masing-masing bergantung dan perlu kepada kaum-kaum lain untuk maju.Sebagai contoh, jika kita lihat masyarakat Cina lebih banyak terlibat dalam perniagaan. Tanpa kaum Melayu dan India, saya tidak fikir perniagaan orang Cina ini boleh maju jika hanya mengharapkan orang Cina sahaja yang membeli. Saya tidak fikir jika hanya orang Cina membeli boleh menjadi kaya raya.


Sebenarnya setiap kaum di Malaysia perlu bekerjasama dalam semua bidang, bukan mempunyai perasaan iri hati, dengki dan prasangka kepada kaum lain. Saya juga percaya orang Melayu banyak berkorban dan berjasa terhadap negara ini. Lihatlah contoh di mana hanya tanah-tanah Melayu sahaja dikorbankan dan digunakan untuk pembangunan dan lebih 95 peratus orang Melayu menjadi anggota tentera dan polis demi menjaga keamanan negara.