Mesra rakyat, cara hidup kampung, pendekatan hands on dan bekerja tanpa mengira masa, melayani kehendak rakyat dari isu kecil hinggalah isu besar semuanya dibereskan.
Memang azab melayani kehendak pengundi di Kedah. Tanyalah mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen sedia ada. Kehendak mereka ibarat kata pepatah Inggeris from nothing to everything. Akan tetapi azab, penat dan jerit perih pasti berbalas. Prinsip budi baik dikenang juga akhirnya dibayar dengan undi dalam pilihanraya.
Ironinya sosiobudaya pengundi dan rakyat Kedah amat bencikan pemimpin sombong, angkuh dan bangga diri. Ataupun pemimpin yang bukannya anak tempatan tetapi menunjuk lagak seolah-olah dia tahu segala-galanya.
Untuk mendapat tempat di hati rakyat Kedah, pemimpin tidak boleh dilihat berbeza pada skala yang besar dengan rakyat biasa. Pemimpin yang disanjungi adalah mereka yang menjadi pendengar setia rintihan dan keluhan rakyat. Mudah ditemui bukannya terpaksa melalui aturan temu janji yang entah apa-apa.
Pengundi di Kedah cukup mudah, dengan sebahagian besarnya adalah kaum tani, penternak, penoreh dan nelayan serta menghuni kawasan luar bandar. Mereka akan menghargai dan meraikan pemimpin yang sentiasa ingatkan mereka.
Pemimpin yang bila berjanji dikota, kata dilaksana. Fakta ini diketahui semua pemimpin UMNO di Kedah atau dimana sahaja. Malangnya mungkin kerana faktor ‘terlupa’ terlalai atau mengambil ringan akibat UMNO dan BN sering menang mudah maka ia terlepas pandang menyebabkan UMNO akhirnya kecundang.
Namun itulah formula sebenar yang wajib menjadi amalan jika mana-mana parti mahu menang dan berkuasa di mana-mana sahaja. Cukuplah peristiwa gerhana PRU 2008 menjadi pengajaran. Sikap selesa, ambil mudah dan kerja bermusim patutnya dibuang jauh.
Inilah hikmah PRU 2008 moga menjadi ingatan dan panduan kepada seluruh barisan pimpinan dan penyokong Pakatan rakyat semua peringkat jika inginkan kemenangan diseluruh negara!
Penulis ialah bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Syed Razak ketika menjadi Menteri Besar Kedah.
No comments:
Post a Comment