Tuesday, July 20, 2010

CIRI-CIRI KEPIMPINAN Datuk Seri Syed Razak yang mengambil alih daripada Tan Sri Sanusi Junid pada tahun 1999.

Mesra rakyat, cara hidup kampung, pendekatan hands on dan bekerja tanpa mengira masa, melayani kehendak rakyat dari isu kecil hinggalah isu besar semuanya dibereskan. 

Memang azab melayani kehendak pengundi di Kedah. Tanyalah mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen sedia ada. Kehendak mereka ibarat kata pepatah Inggeris from nothing to everything. Akan tetapi azab, penat dan jerit perih pasti berbalas. Prinsip budi baik dikenang juga akhirnya dibayar dengan undi dalam pilihanraya. 

Ironinya sosiobudaya pengundi dan rakyat Kedah amat bencikan pemimpin sombong, angkuh dan bangga diri. Ataupun pemimpin yang bukannya anak tempatan tetapi menunjuk lagak seolah-olah dia tahu segala-galanya.

Untuk mendapat tempat di hati rakyat Kedah, pemimpin tidak boleh dilihat berbeza pada skala yang besar dengan rakyat biasa. Pemimpin yang disanjungi adalah mereka yang menjadi pendengar setia rintihan dan keluhan rakyat. Mudah ditemui bukannya terpaksa melalui aturan temu janji yang entah apa-apa. 

Pengundi di Kedah cukup mudah, dengan sebahagian besarnya adalah kaum tani, penternak, penoreh dan nelayan serta menghuni kawasan luar bandar. Mereka akan menghargai dan meraikan pemimpin yang sentiasa ingatkan mereka. 

Pemimpin yang bila berjanji dikota, kata dilaksana. Fakta ini diketahui semua pemimpin UMNO di Kedah atau dimana sahaja. Malangnya mungkin kerana faktor ‘terlupa’ terlalai atau mengambil ringan akibat UMNO dan BN sering menang mudah maka ia terlepas pandang menyebabkan UMNO akhirnya kecundang.

Namun itulah formula sebenar yang wajib menjadi amalan jika mana-mana  parti mahu menang dan berkuasa di mana-mana sahaja. Cukuplah peristiwa gerhana PRU 2008 menjadi pengajaran. Sikap selesa, ambil mudah dan kerja bermusim patutnya dibuang jauh. 

Inilah hikmah PRU 2008 moga menjadi ingatan dan panduan kepada seluruh barisan pimpinan dan penyokong Pakatan rakyat semua peringkat jika inginkan kemenangan diseluruh negara!



Penulis ialah bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Syed Razak ketika menjadi Menteri Besar Kedah.

Mana lebih penting, perpaduan atau kepimpinan yang baik?

SEJAK kebelakangan ini, isu perpaduan orang Melayu, khasnya penyatuan UMNO dan Pas mendapat perhatian ramai. Penekanan isu ini adalah untuk mengelak malapetaka orang Melayu kehilangan kuasa.

Tidak dinafikan tentang perpecahan orang Melayu, malah semua kaum, di negara kita, kerana perbezaan ideologi. Ini perkara lumrah yang berlaku di mana-mana. 

Namun demikian, kita patut membezakan antara kewujudan banyak parti politik dengan pertelagahan di antara mereka. Parti-parti boleh bekerjasama seperti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan sekarang dalam pakatan pembangkang atau parti-parti boleh bertelagah dan tidak boleh bekerjasama. 

Nampaknya, mereka yang menganjurkan perpaduan UMNO-Pas menonjolkan isu orang Melayu hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Mereka bimbang kehilangan kuasa ini akan membawa kepada pindaan Perlembagaan negara dan perubahan dasar-dasar yang penting tentang kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Apa yang kita sebut dalam ayat akhir perenggan di atas memang perlu dielak. Kalau berlaku, satu lagi peristiwa berdarah 13 Mei tidak dapat dielak. 

Siapa yang salah kalau ini berlaku? Tokoh-tokoh tertentu dalam pakatan pembangkang bukan manusia yang sempurna. Demikian juga dalam pakatan kerajaan. 

Tidak ada manusia yang sempurna. Yang sempurna hanya Tuhan pencipta sekelian alam. Namun demikian, ada pihak yang perlu kita pertanggungjawabkan. Jika tidak ada pihak yang telah melakukan kesalahan-kesalahan besar, perkara ini tidak akan timbul.

Kemenangan besar yang diperoleh oleh pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak boleh dipersalahkan kepada rakyat, atau kepada dakyah pembangkang semata-mata. UMNO dan BN sendiri perlu mengambil tanggungjawab utama. UMNO dan BN sendiri perlu membaiki dirinya. 

Saya percaya, kalau UMNO dan BN boleh memberi kepimpinan yang baik, dilema ini tidak akan timbul.

Sekarang UMNO sedang mengadakan mesyuarat-mensyuarat Bahagian. Kita boleh membaca dalam akhbar-akhbar yang melaporkan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat-mesyuarat ini, termasuk Presiden UMNO serta mendapat maklumat yang berguna tentang beberapa masalah dalaman UMNO. 

Pemimpin-pemimpin ini menyeru supaya ahli-ahli UMNO jangan berbalah sesama sendiri, jangan berpuak-puak mesti memperjuangkan kehendak dan hasrat rakyat dan mesti kembali kepada perjuangan asal UMNO. 

Perkara-perkara ini sudah kita dengar lama dulu. Ringkasnya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO telah gagal menampilkan kepimpinan yang baik. 

Jika UMNO ada kepimpinan yang baik, perkara-perkara ini tidak akan disebutkan dalam ucapan-ucapan perasmian itu.Inilah masalahnya. Bukan penyatuan UMNO-Pas yang diperlukan, tetapi kepimpinan orang Melayu yang baik. Bukanlah UMNO tidak pernah ada kepimpinan yang baik.

Tetapi sejak satu dua dekad yang lalu, sejak timbul apa yang dikatakan ‘politik wang’, kepimpinan itu merosot teruk. 


Banyak rencana telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tentang pelbagai macam penyelewengan dalam UMNO dan kerajaan: rasuah, keborosan, kronisme, perpecahan kepada puak dan kehilangan semangat perjuangan atau idealisme. 

Kepimpinan Najib sekarang mestilah menyelesaikan masalah-masalah ini. Kerja besar dan berat inilah yang harus difikirkan dan ditangani bukan saja oleh kepimpinan UMNO tetapi juga oleh kepimpinan Pas dan kepimpinan seluruh bangsa Melayu termasuk kepimpinan pakatan pembangkang lain. 

Contohnya, kalau kita ada sebuah dusun, pokok-pokok seperti durian, rambutan, manggis, mempelam, langsat dan sebagainya hendaklah subur dan berbuah selalu atau dalam musim-musimnya. Buah-buahnya pula mestilah sedap. Begitulah yang kita mahu dilakukan oleh kepimpinan, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Kita bukan meminta langit. Kita harus realistik. Semua manusia, termasuk pemimpin-pemimpin ada kelemahan. Tetapi kita berhak meminta komitmen yang ikhlas dan tinggi daripada pemimpin-pemimpin kita. 

Kepimpinan UMNO dan BN mestilah memperbaharui dan memperkuat semangat perjuangan mereka serta melaksanakan transformasi (meminjam istilah Najib) UMNO dan kerajaan dalam masa sesingkat mungkin. 

Kalau mereka boleh melakukan ini, saya percaya kita tidak perlu bimbang tentang orang Melayu kehilangan kuasa. Tetapi kalau mereka gagal, malapetaka besar padahnya.
Kassim Ahmad Kulim, Kedah